13 MAC 2025 (UTUSAN BORNEO ONLINE) PEJABAT PENERANGAN TAWAU LAKSANA PROGRAM ERAT HUBUNGAN MASYARAKAT

Category: Liputan Berita 2025

TAWAU: Pejabat Penerangan Tawau mengambil peranan mengeratkan hubungan bersama penduduk kampung dalam Program Kemasyarakatan Komuniti Madani di Kampung Kijang Merotai, hari ini.

Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis berkata pelbagai aktiviti dijalankan bersama penduduk kampung termasuklah memasak bubur lambuk secara gotong-royong.

Katanya, Pejabat Penerangan Tawau mengambil peluang ini juga untuk memberikan taklimat dan mengedar risalah penerbitan kepada penduduk kampung.

“Program ini dilaksanakan supaya membolehkan Pejabat Penerangan Tawau memainkan peranan sebagai penyebar maklumat yang sahih dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan di akar umbi.

“Peluang sebegini memang antara aktiviti yang wajib dilaksanakan supaya masyarakat terutamanya di luar bandar mendapat maklumat yang sahih dan tepat,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Azuary berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pemimpin tempatan dalam menganjurkan pelbagai program-program yang melibatkan masyarakat di daerah ini.

“Saya berharap dengan program-program yang dianjurkan ini membolehkan masyarakat terutamanya di luar bandar tidak terlepas mendapat maklumat yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Kemajuan Masyarakat Merotai, Asis Bakri ketika memberikan ucapan perasmian berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan Tawau.

Katanya, program ini bukan sahaja menggalakkan semangat gotong-royong, tetapi ia juga dapat memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

“Saya melihat program sebegini selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat,” katanya.