13 SEPT 2025 (MALAYSIA AKTIF) KOMUNITI MADANI BUKIT SEPALI SAMBUT BAIK INISIATIF KIBAR JALUR GEMILANG MELALUI 1R1JG

Category: Liputan Berita 2025

KANOWIT, 13 Sep (MalaysiaAktif) – Semangat patriotisme terus disemarakkan apabila Komuniti MADANI Bukit Sepali dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kanowit menganjurkan Program JIWA@Komuniti MADANI Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Rumah Taboh, Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun, di sini semalam.

Program yang melibatkan penyertaan 100 peserta termasuk ketua kaum dan ketua masyarakat itu bertujuan memperkukuhkan perpaduan dan semangat patriotisme melalui kibar Jalur Gemilang khususnya pada Bulan Kebangsaan.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Ngau berkata beliau gembira melihat kehadiran ramai peserta daripada masyarakat setempat yang menyambut baik program dan kempen kerajaan yang menggalakkan budaya mengibarkan Jalur Gemilang sempena HKHM.

Anyi menekankan perlunya semua pihak mengetahui sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

“Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang atau 1R1JG yang dijalankan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melalui Program JIWA@Komuniti MADANI Sambutan HKHM seperti ini harus terus diberikan sokongan dan masyarakat perlu kerap menyertai program sebegini,” katanya.

Anyi menambah semua pihak harus mengetahui makna dan tujuan mengibarkan Jalur Gemilang, terutamanya dalam bulan kebangsaan kerana ia adalah masa untuk semangat patriotisme diangkat lebih tinggi dalam kalangan rakyat.

“Tidak kira di bandar mahupun di luar bandar, setiap rakyat harus mengambil inisiatif menggantung Jalur Gemilang kerana bendera itu bukan sekadar hiasan, sebaliknya simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan wira negara yang telah berjuang demi kebebasan dan kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini,” katanya lagi.

Sepanjang program, pelbagai pengisian menarik diadakan termasuk bacaan ikrar Rukun Negara, pengagihan bendera Malaysia dan bendera Sarawak kepada penduduk setempat, nyanyian lagu patriotik serta pelaksanaan Info on Wheels, yang turut menyampaikan maklumat mengenai pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali beri kepada penerima yang layak.

-RJ-