13 SEPT 2025 (TV SARAWAK) HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA DISAMBUT MERIAH DI SEBUYAU

Category: Liputan Berita 2025

SEBUYAU, 14 Sept: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Sebuyau tahun ini berlangsung meriah dengan penglibatan aktif komuniti setempat serta peniaga tempatan menerusi Program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan selama tiga hari bermula 12 September lalu.

Pegawai Penyelaras Komuniti MADANI DUN Sebuyau, Rick Anderson Rini berkata, program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Simunjan dengan kerjasama Komuniti MADANI Sebuyau itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, sambutan kali ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk tempatan selain turut menarik pengunjung dari luar kawasan.

“Setakat dua hari ini, kita ada 28 booth jualan yang disertai peniaga tempatan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, pelbagai pengisian menarik turut disediakan termasuk pertandingan mewarna, sukaneka, persembahan artis dan pertandingan cilik ratu kebaya yang berjaya memeriahkan suasana.

Selain mengukuhkan perpaduan, penganjuran program itu juga menyahut seruan kerajaan menerusi inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang bagi menggalakkan rakyat mengibarkan bendera kebangsaan.

Sambutan pada tahun ini jelas memperlihatkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan komuniti setempat yang berganding bahu menjayakan program tersebut. – TVS