Laporan/foto: Sazli Abu Hassan Azahari/Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 130 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera, di sini menyertai Kem Kepimpinan Jati Diri Pemimpin Muda Sekolah 2026 yang bertujuan membentuk jati diri, meningkatkan keyakinan serta memperkukuh kemahiran kepimpinan serta komunikasi mereka.
Antara pelajar yang terlibat.
Guru penyelaras Mardiyah Hashim berkata kem berkenaan mampu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, berintegriti, berdisiplin tinggi serta mampu memimpin dengan berkesan terutama berkait aspek pengurusan majlis.
“Pengurusan majlis yang berkesan perlu merangkumi aspek koordinasi logistik, pengurusan teknikal, pematuhan protokol serta kelancaran majlis dari awal hingga akhir, yang mampu memberikan impak positif kepada audiens dan penganjur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ke tersebut yang disertai peserta daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas, di sini semalam.
Pejabat Penerangan Daerah Baling yang bertindak sebagai fasilitator turut memberi pendedahan secara langsung kepada peserta berkaitan pengurusan majlis dan pengendalian acara secara profesional.
Antara pengisian utama program ialah Teknik Juruacara Majlis, Pengurusan Acara, Pengucapan Awam serta Pengenalan Protokol yang dilaksanakan secara interaktif dan praktikal bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam situasi sebenar majlis rasmi.
Irdina Marsya antara pelajar yang terlibat
dalam program ini.
Seorang peserta, Irdina Marsya Mohamad Nizam, 11, berkata penganjuran program ini sangat bermakna kepadanya.
“Ia memberi peluang kepada pelajar mempelajari kemahiran pengucapan awam serta pengalaman sebenar menjadi juruacara majlis melalui sesi praktikal yang dijalankan,” katanya.
Penganjuran Kem Kepimpinan Jati Diri Pemimpin Muda Sekolah 2026 ini diharap dapat melahirkan pemimpin pelajar yang berwibawa, berdisiplin dan berkeyakinan tinggi, selaras dengan aspirasi pendidikan negara ke arah pembentukan generasi holistik, berdaya saing dan berkualiti.
-RI