Laporan/Foto: Noorsiah Mahmud / Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sabah komited memperkasa agenda negeri sukan berprestasi tinggi menerusi penambahbaikan fasiliti, pembangunan atlet di peringkat akar umbi serta pengembangan sukan sebagai pemangkin ekonomi dan industri kreatif negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCe) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha tersebut digerakkan secara menyeluruh selaras dengan penjenamaan semula kementerian berkenaan yang turut memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi kreatif.
Menurut beliau, agenda menjadikan Sabah sebagai negeri sukan bukan sahaja berfokus kepada pencapaian atlet, malah turut mencerminkan aspirasi tinggi kerajaan negeri dalam mewujudkan ekosistem sukan yang mampan dan berdaya saing.
Nizam menegaskan kepentingan pembangunan sukan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan industri kreatif Sabah ketika sesi temu bual khas di Kota Kinabalu.
“Penyediaan fasiliti sukan yang berkualiti dan selesa merupakan asas penting dalam mencungkil serta membangunkan bakat sukan di Sabah.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab, kemudahan sukan di lokasi tumpuan seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Keningau perlu sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ia mencerminkan keupayaan serta kredibiliti kementerian itu sendiri,” katanya ketika ditemui dalam program Influencer@JAPEN Sabah di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut merancang pelaksanaan dasar ‘Satu Daerah, Satu Kompleks Sukan’ bagi memastikan akses kemudahan sukan dapat dinikmati oleh rakyat di seluruh negeri.
Selain membina kompleks sukan baharu dan membaik pulih kemudahan sedia ada, beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat membina Stadium Likas kedua sebagai alternatif fasiliti sukan berskala besar di Kota Kinabalu.
Tambah beliau, penggabungan sektor sukan dan ekonomi kreatif membuka peluang lebih luas kepada belia negeri itu untuk menceburi bidang berkaitan seperti pengurusan acara, pemasaran sukan, penciptaan kandungan digital serta teknologi sukan yang mempunyai nilai komersial tinggi.
“Kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif sokongan bagi menggalakkan penglibatan belia dalam sektor ekonomi kreatif berasaskan sukan. Pada masa sama, kerajaan turut mengambil pendekatan proaktif dalam menyokong pembangunan sukan digital sebagai satu industri baharu yang berpotensi besar.
“Sabah mempunyai ramai pemain e-sukan berbakat yang telah menunjukkan prestasi membanggakan di peringkat kebangsaan. Bidang ini perlu terus diperkasakan agar belia Sabah tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi global,” ujarnya.
-RJ-