SUNGAI ACHEH, 16 Sep (MalaysiaAktif) – Lebih 800 pengunjung membanjiri Dataran Kuala Haji Ibrahim, di sini sempena Program Bersama Aktifkan Kesukarelawanan Teras Inspirasi (BAKTI) Komuniti MADANI yang julung kali dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Pulau Pinang, di sini kelmarin.
Program disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam upacara peletakan batu asas di Laman Komuniti MADANI yang dibina hasil gotong-royong komuniti.

Rashidi berkata program BAKTI Komuniti MADANI beri peluang kerajaan lihat potensi Kuala Haji Ibrahim dimajukan.
Turut hadir, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Datuk Rashidi Zinol, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan.
Program dengan kerjasama strategik pelbagai jabatan dan agensi persekutuan serta negeri itu bertujuan memperkukuh landskap kesukarelawanan dalam kalangan komuniti di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan perpaduan.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan sukan rakyat, pertandingan mewarna, perkhidmatan menukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma, Jualan Agro MADANI dan jualan usahawan tempatan serta wayang pacak.
Fahmi turut menyantuni ahli-ahli Komuniti MADANI Daerah Seberang Perai Selatan pada sesi Sembang Santai Komuniti MADANI bersama Menteri Komunikasi, usai acara perasmian.
Sementara itu, Rashidi yang ditemui semasa program berkata program seumpama itu memberi peluang kepada pihak kerajaan melihat potensi kawasan berkenaan untuk dibangunkan sekali gus dapat membantu masyarakat setempat.
“Dulu ada 20 bot nelayan di sini, hari ini ada lebih seratus nelayan berpangkalan di sini,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang.
Beliau berkata pihaknya cuba menyediakan kemudahan bagi menambah peluang pendapatan bagi meningkatkan ekonomi komuniti setempat dan dalam peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan itu sebagai pusat pelancongan.
-RI