13 SEPT 2025 (UTUSAN BORNEO ONLINE) PROGRAM JIWA@KOMUNITI MADANI ERAT HUBUNGAN KERAJAAN DAN RAKYAT

Category: Liputan Berita 2025

BINTULU: Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan Hari Malaysia (JKHM) 2025 dilihat sebagai platform terbaik bagi merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat, kata Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak Roszilawati Nor Aziz.

Katanya, pogram itu merupakan aktiviti turun padang dan sesi libat urus secara bersemuka JAPEN bagi mendekati dan mengeratkan silaturahim antara kerajaan dan masyarakat khususnya ahli-ahli Komuniti MADANI yang terdiri daripada masyarakat majmuk negara ini.

“Program ini antara lain diadakan bertujuan memperkasa komuniti melalui penglibatan dalam penganjuran dan pengisian program yang dianjurkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani HKHM 2025 Komuniti MADANI Similajau di Peace Garden Bintulu di sini hari ini.

Menurutnya, penglibatan ahli-ahli KomunitiI MADANI merupakan tunjang dalam kejayaan sesuatu program kerana ini menuntut usaha keras dan gandingan idea semua pihak.

“Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya kita dapat berkumpul dalam program yang penuh makna bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bahagian ini khususnya di kawasan Samalaju, ” ujarnya.

Jelasnya, seiring dengan semaraknya bulan kebangsaan, semua komuniti setempat kembali menyaksikan Jalur Gemilang berkibaran yang mencerminkan semangat perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia.

“Di bawahnya tersemat cerita perjuangan, pengorbanan dan tekad gigih para pahlawan dan pejuang yang menjadi warisan kita yang berharga ini,” ujarnya.

Program itu katanya, bukan sahaja memberi peluang kepada kita untuk menghayati semangat patriotisme, malah ia juga mengajak kita untuk lebih menghayati serta menghayati semula keindahan dan keagungan negara tercinta ini.

Untuk makluman bersama katanya, program itu melibatkan program utama iaitu sambutan perayaan atau program kemasyarakatan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 termasuk program sembang santai.

Secara amnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Muar, Johor pada 27 Julai yang lalu dan menandakan bermulanya sambutan peringkat kebangsaan yang diteruskan ke seluruh negara.

– oleh Ambrose Rirang