18 APR 2025 (MALAYSIA AKTIF) JIWA KOMUNITI MADANI PERKUKUH HUBUNGAN KERAJAAN DAN RAKYAT

Category: Liputan Berita 2025

TUMPAT, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Pendekatan komunikasi bersemuka yang diketengahkan menerusi Program JIWA@Komuniti MADANI berjaya memperkukuhkan penyampaian maklumat kerajaan secara terus kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Program anjuran Komuniti MADANI Simpangan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) Tebing ini telah berlangsung di Mukim Tebing, di sini dengan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Pengerusi JPKKP Mukim Tebing Zabidi Wahab, menyifatkan program ini sebagai satu pendekatan berkesan dalam memperjelas dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

“Program seperti ini membantu membina kepercayaan antara kerajaan dan masyarakat. Maklumat yang disampaikan secara telus dan mudah difahami lebih memberi kesan kepada rakyat,” ujarnya.

Ketua Komuniti MADANI Simpangan Abdullah Yusof turut menekankan kepentingan menyampaikan maklumat yang sahih dan terkini secara langsung kepada komuniti.

“Program sebegini memberi ruang kepada rakyat untuk mendapat penerangan yang jelas tanpa kekeliruan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Hashim Mohamad yang hadir mewakili Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, menyeru agar Ketua Komuniti MADANI dan ahli jawatankuasa memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasa komunikasi masyarakat.

“Mereka perlu celik digital, manfaatkan kemudahan di Pusat NADI serta galakkan penganjuran program kemasyarakatan untuk memupuk semangat perpaduan dan cinta negara,” katanya dalam ucapan penutup.

Program JIWA@Komuniti MADANI dilihat bukan sahaja sebagai saluran penyampaian maklumat, tetapi juga sebagai jambatan yang merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.