19 APR 2025 (TVS) PERKUKUH KERJASAMA DEMI KESEJAHTERAAN BERSAMA ANGKAT IMEJ KERAJAAN

Category: Liputan Berita 2025

SIBU, 19 April: Semua ahli Komuniti MADANI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka diseru agar terus memperkukuh kerjasama dan komitmen dalam usaha mengangkat imej kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi berkata, kerjasama ini penting dalam memastikan segala program dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya di peringkat akar umbi, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

“Terdapat tiga Komuniti MADANI di bawah DUN Nangka yang berada di bawah seliaan Jabatan Penerangan Daerah Sibu iaitu Komuniti MADANI Sri Rajang, Komuniti MADANI Satria dan Komuniti MADANI Bahagia Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1446H/2025M anjuran bersama Komuniti MADANI Sri Rajang dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu, yang berlangsung di Dewan LAKIS, Masjid An Nur, Sibu di sini, malam tadi.

Menurut beliau, Komuniti MADANI Sri Rajang yang ditubuhkan pada tahun lepas merupakan antara yang paling aktif pada tahun ini.

“Kami amat menghargai komitmen serta usaha mereka dalam menganjurkan majlis yang meriah dan bermakna seperti malam ini walaupun dengan persiapan yang singkat.

“Tahniah kepada seluruh warga Komuniti MADANI Sri Rajang serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, dan saya berharap usaha murni seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambahnya.

Katanya lagi, secara keseluruhan terdapat sebanyak 18 Komuniti MADANI berada di bawah tanggungjawab beliau merangkumi daerah Sibu dan Selangau.

Dalam pada itu, majlis sempena Aidilfitri yang diadakan dibawah Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @Komuniti MADANI itu bertujuan memperkukuh ikatan perpaduan serta mengeratkan silaturahim antara ahli Komuniti Madani Sri Rajang dan PAWE Sibu.

Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan seumpamanya akan diteruskan bersama Komuniti MADANI Satria di Kampung Jeriah, Sibu bagi penganjuran seterusnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Sibu, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Izkandar Roseley-TVS