2 MEI 2025 (UTUSAN BORNEO ONLINE) PROGRAM SEMBANG SANTAI KOMUNITI MADAI DIJAYAKAN DI RH LIMBI JAMBAR

Category: Liputan Berita 2025

SONG: Rumah Limbi Jambar di Nanga Temalat baru-baru ini menjadi lokasi berlangsungnya Program Sembang Santai Komuniti MADANI anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Song.

Program ini berjaya menyatukan pelbagai agensi kerajaan bersama penduduk setempat dalam suasana santai yang sarat dengan maklumat bermanfaat.

Pegawai Penerangan Daerah Song Joseph Laga yang mengetuai inisiatif ini menyatakan keyakinan bahawa pendekatan seperti ini mampu merapatkan jurang komunikasi antara rakyat dan kerajaan.

“Kami mahu pastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan.

“Semangat Malaysia MADANI mesti dirasai oleh semua,” ujar beliau.

Beberapa agensi kerajaan turut memainkan peranan penting dalam program tersebut.

Pasukan dari Pejabat Bomba dan Penyelamat Daerah Song tampil berkongsi langkah-langkah keselamatan kebakaran, manakala wakil Pejabat Kesihatan Song memberi penekanan terhadap aspek kesihatan awam dan penjagaan diri.

Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Ahli Jawatankuasa Kampung (AJK) Nanga Temalat yang membantu dalam penyelarasan dan mobilisasi komuniti tempatan.

Uniknya, pendekatan sembang santai yang digunakan memberi ruang terbuka kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak berkuasa.

Ia bukan sekadar sesi penyampaian maklumat, tetapi juga wadah untuk rakyat menyuarakan pandangan serta kebimbangan mereka terhadap isu-isu semasa.