21 JAN 2025 (SUARA SARAWAK) JAPEN SARAWAK KEKAL RELEVAN DALAM DUNIA DIGITAL

Category: Liputan Berita 2025

KUCHING: Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak akan terus dikenali sebagai legenda dalam industri komunikasi dan perlu kekal relevan di tengah perubahan dunia digital.

Pengarahnya Helmy Hamid berkata, anggota JAPEN ialah pemain terbaik dalam landskap komunikasi dan media negara.

“Saya menyeru agar anggota JAPEN untuk terus mengekalkan peranan jabatan yang kukuh, penting dan relevan dalam dunia komunikasi negara dengan mengadaptasi cabaran era digital masa kini.

“Setiap cabaran yang dihadapi tentunya membawa pengalaman dan pengajaran berharga untuk penambahbaikan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Permukiman JAPEN Sarawak, di Auditorium FINAS, di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, JAPEN Sarawak akan memperkenal empat program baharu pada tahun ini bertujuan menambah nilai kepada peranan JAPEN dalam komunikasi strategik dan kandungan digital.

Program-program tersebut ialah Akademi Asas Penerangan (ASAS), PENTARAMA Homecoming, Brek JNews dan Aplikasi JAPEN On Mobile (JOM).

“Bagi program Info On Wheels (IOW), ia akan diberi nafas baharu dengan penambahan elemen ceramah ringkas oleh Pegawai Penerangan Daerah (PPD) untuk meningkatkan kemahiran pengucapan awam dan memperkasakan penyebaran bahan penerbitan.

“Aktiviti ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan oleh semua PPD dan melalui penyampaian ceramah, mereka dapat mengasah kemahiran pengucapan awam sekali gus melahirkan penceramah JAPEN yang berketerampilan,” jelasnya.

Di samping itu, Helmy menekankan kepentingan kerjasama strategik antara Komuniti MADANI dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), termasuk lawatan ke NADI serta pendaftaran ahli jawatankuasa Komuniti MADANI sebagai ahli NADI.

“JAPEN juga akan terus bekerjasama dengan rakan strategik terutama dalam program yang melibatkan Kerajaan Sarawak dan harus menunjukkan peranan penting sebagai agensi yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan kerajaan Sarawak.

“Saya ingin mengingatkan warga JAPEN agar mengamalkan budaya kerja positif dan beradab tinggi dan kejayaan penjawat awam diukur melalui prestasi kerja serta disiplin selaras dengan pengumuman kenaikan gaji dan bantuan khas kewangan dalam Bajet 2025,” tegasnya.

Tambahnya, warga JAPEN Sarawak perlu meningkatkan nilai diri dan menjadi individu berkemahiran tinggi untuk manfaat masyarakat sambil komited memastikan bahawa program dan perkhidmatan JAPEN memberi impak positif kepada rakyat dan negara.