21 JAN 2025 (TVSARAWAK) JAPEN SARAWAK KEKAL RELEVAN, ADAPTASI CABARAN KEKAL RELEVAN MASA KINI

Category: Liputan Berita 2025

KUCHING, 21 Jan: Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak komited untuk kekal relevan menempuhi arus perubahan dunia digital sebagai legenda dalam industri komunikasi.

Pengarahnya, Helmy Hamid berkata JAPEN diperakui melopori industri dan pemain terbaik dalam landskap komunikasi dan media negara.

“Sebagai langkah proaktif, JAPEN Sarawak akan memperkenalkan empat program baharu pada tahun 2025 yang bertujuan menambah nilai kepada peranan JAPEN dalam komunikasi strategik dan kandungan digital.

“Program-program tersebut ialah Akademi Asas Penerangan (ASAS), PENTARAMA Homecoming, Break JNews dan Aplikasi JAPEN On Mobile (JOM). Selain itu, program Info On Wheels (IOW) yang sedia ada akan diberi nafas baharu dengan penambahan elemen ceramah ringkas oleh Pegawai Penerangan Daerah (PPD) untuk meningkatkan kemahiran pengucapan awam dan memperkasakan penyebaran bahan penerbitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Permukiman Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang diadakan di Auditorium FINAS, hari ini.

Katanya, aktiviti tersebut perlu dijalankan sekurang-kurangnya dua kali sebulan oleh semua PPD. Melalui penyampaian ceramah tersebut, PPD akan dapat mengasah kemahiran pengucapan awam mereka dan melahirkan penceramah JAPEN yang berketerampilan.

Helmy turut menekankan bahawa setiap cabaran yang dihadapi membawa kepada pengalaman dan pengajaran berharga untuk penambahbaikan masa depan.

“Selain pelaksanaan program yang dirancang, JAPEN akan terus bekerjasama dengan rakan strategik terutama dalam program yang melibatkan Kerajaan Sarawak.

“JAPEN Sarawak harus menunjukkan peranan pentingnya sebagai agensi yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Dalam masa sama, Helmy menyeru warga JAPEN Sarawak meningkatkan nilai diri dan menjadi individu berkemahiran tinggi untuk manfaat masyarakat serta komited memastikan program dan perkhidmatan JAPEN memberi impak positif kepada rakyat dan negara. – TVS