SEBANYAK 216 penggiat industri kreatif tempatan menerima manfaat menerusi Program Ziarah Seni Madani, yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak 2023 hingga 10 Jun lepas, melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM164,256.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah penerima menunjukkan peningkatan ketara daripada lapan orang pada 2023, dan jumlah sumbangan sebanyak RM10,900 kepada 49 penerima pada tahun berikutnya dengan dana agihan RM47,000.
“Bagi tahun 2025, jumlah penerima mencatat angka tertinggi, iaitu sebanyak 123 penggiat seni dengan sumbangan mencecah RM82,000.
“Bagi tahun ini setakat 10 Jun pula, sebanyak 36 penggiat industri menerima bantuan membabitkan peruntukan RM24,356,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada pelakon, pelawak dan pengacara veteran Mohammad Salih Yaacob di kediamannya di Desa Pandan, di sini hari ini.
Nie Ching berkata, Kementerian Komunikasi dan FINAS sentiasa terbuka untuk membantu mana-mana penggiat seni yang memerlukan sokongan atau bantuan kebajikan.
Program Ziarah Seni Madani@FINAS ialah inisiatif berterusan kerajaan dalam menyantuni, menjaga kebajikan serta menghargai sumbangan para penggiat seni dan veteran industri kreatif tempatan yang berdepan kekangan kesihatan mahupun faktor usia.
Sementara itu, Mohammad Salih atau lebih dikenali sebagai Salih Yaacob, 65, menzahirkan penghargaan kepada FINAS atas keprihatinan yang ditunjukkan menerusi kunjungan berkenaan.
Beliau berkata, faktor usia dan keadaan kesihatan menyebabkan pergerakannya kini agak terbatas, namun menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.
Sepanjang kerjayanya, pelakon dan pelawak veteran ini telah membintangi deretan filem popular era 80-an dan 90-an termasuk Jejaka Perasan, Mr. Os, Awang Spanar, Janda Meletup, dan Konstabel Mamat.
Beliau juga melakar nama dalam bidang penyiaran radio sebagai antara penyampai utama stesen Sinar bagi segmen Sinar Pagi dan Santai Sinar bagi tempoh 2006 hingga 2019. – Bernama