24 MAC 2025 (BORNEO DAILY BULLETIN) PROGRAM JIWA KOMUNITI MADANI SANTUNI MASYARAKAT DI BULAN RAMADAN

Category: Liputan Berita 2025

RANAU: Program Jiwa@Komuniti Madani (Kemasyarakatan) Komuniti Madani Daerah Ranau bersama Pejabat Penerangan (JaPen) Daerah Ranau berjaya menyantuni golongan yang memerlukan, terlebih lagi di bulan Ramadan ini.

Program kemasyarakatan yang mengabungkan penglibatan sembilan buah Komuniti Madani dari seluruh Daerah Ranau itu dilengkapi dengan pengisian aktiviti yang memberikan impak kepada anggota masyarakat di sini.

Antara lain aktiviti yang dijalankan termasuk penyampaian 27 Bakul Makanan kepada pesakit Unit Hemodialisis Hospital Ranau. Program ini merupakan aktiviti yang julung kali diadakan oleh Komuniti madani Daerah Ranau.

Turut dijalankan ialah penyampaian wang sumbangan dan bakul makanan kepada dua orang ahli Komuniti Madani di Kg Takutan yang kematian ahli keluarga bulan lalu.

Di samping itu, turut diselitkan Majlis berbuka puasa komuniti madani bersama JaPen dan Doa Tahlil di Pejabat Penerangan Daerah Ranau, selain penyerahan wang sumbangan dan bakul makanan kepada Azrie@Patrik Sitan yang telah kehilangan ayahanda.

Program yang sama turut diadakan bertempat di Masjid As Syarif Kg Timbua Ranau, di mana seramai 90 penerima bakul makanan daripada enam buah kampung berdekatan disantuni.

Enam buah kampung yang terlibat dalam program ini ialah Kg Debut, Kembiroi, Lobou Baru, Lobou Timbua, Merungin 1 dan Merungin 2.

Aktiviti lain yang diadakan ialah aktiviti Ceramah Naratif dari Pegawai JaPen Ranau Kenny Thomas, gotong-royong JAPEN bersama Komuniti Madani dan jemaah masjid di sekitar Masjid As Syarif Timbua, gunting rambut kanak-kanak percuma tajaan dari Esther Salon Ranau dan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung.

Kenny berkata, program ini merupakan program Komuniti Madani Daerah di bawah kelolaan JaPen Daerah Ranau dan merupakan program kedua selepas program Jiwa@sembang warung yang diadakan sebelum itu.

“⁠Tujuan program ini diadakan adalah tentu sahaja untuk mengeratkan silaturahim antara jabatan kerajaan, Komuniti Madani bersama dengan penduduk setempat.

“Selain daripada itu ia diadakan untuk berkongsi sedikit rezeki bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Dari JaPen pula, Kenny berharap agar dengan penyampaian ceramah naratif berkaitan Chatbot AIFA dapat membantu orang ramai untuk mengetahui kesahihan sesebuah berita palsu yang semakin berleluasa pada ketika ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid As Syarif Kg Timbua Ustaz Mohd Razali Lainam berterima kasih atas Program Kemasyarakatan Jiwa Madani yang dianjurkan Oleh JaPen Ranau dan Komuniti Madani Zon Kundasang dengan kerjasama Masjid As Syarif Timbua berjalan dengan jayanya.

“Tahniah untuk semua pihak yang terlibat menganjurkan program seumpama ini. Semoga mencapai objektif penganjuran dan kerjasama seperti ini dapat kita teruskan pada masa masa akan datang.

“Terima kasih kepada pihak JaPen dan Komuniti Madani yang telah memilih Masjid kami sebagai lokasi penganjuran program kali ini,” katanya.

Salah seorang ahli komuniti yang disantuni, Puan Roslin Sion, 47 yang merupakan penerima bakul makanan di Unit Hemodialisis Hospital Ranau sangat berterima kasih atas keprihatinan Pihak Komuniti Madani di bawah JaPen Ranau kerana memberikan bakul makanan ini.

“Walaupun tidak banyak tapi sekurang-kurangnya mampu memberikan kami semangat untuk terus berjuang sebagai pesakit. ⁠Saya berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.