24 MAC 2025 (MALAYSIA AKTIF) PASAR PERCUMA KOMUNITI MADANI INISIATIF KONGSI REZEKI DAN ELAK PEMBAZIRAN

Category: Liputan Berita 2025

BUTTERWORTH, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Lucky telah menganjurkan Program JIWA@Kemasyarakatan – Pasar Percuma, di sini kelmarin.

Program yang dianjurkan bertempat di Dewan MPKK Taman Lucky ini merupakan sebahagian daripada usaha dalam memperkasa budaya kitar semula dan mengurangkan pembaziran dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif ini juga memberi peluang kepada golongan memerlukan untuk mendapatkan barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik, di samping menyediakan platform yang lebih sistematik bagi penderma menyalurkan sumbangan mereka.

Pasar percuma ini terbuka kepada semua, di mana pengunjung bebas memilih dan mengambil barangan yang diperlukan tanpa sebarang bayaran.

Antara barangan yang disediakan termasuk pakaian dewasa dan bayi, mainan kanak-kanak, bahan bacaan, peralatan elektrik serta barangan dapur.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Chong Wee Hong, memaklumkan bahawa inisiatif ini akan diperluas ke kawasan lain bagi menyokong usaha kerajaan negeri dalam menangani isu pelupusan sampah yang semakin membimbangkan.

“Pasar Percuma ini bukan sahaja membantu mengurangkan lambakan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah tetapi juga dapat meringankan beban ekonomi masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Dengan sambutan positif daripada penduduk setempat program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai salah satu usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar serta amalan berkongsi rezeki dalam komuniti.

-ZS-