TAWAU, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jiwa Komuniti MADANI kekal relevan sebagai platform memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap dasar-dasar kerajaan di samping membuka ruang interaksi bersama wakil agensi berkaitan.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abd Azis berkata program berkenaan juga memfokus kepada usaha meningkatkan literasi maklumat dalam kalangan rakyat setempat.
Jelasnya, pemahaman terhadap hala tuju kerajaan menerusi gagasan Malaysia MADANI amat penting agar masyarakat bukan sahaja menjadi penerima dasar tetapi turut menyumbang kepada pelaksanaannya.
“Kita mahu masyarakat terlibat secara aktif dan tidak hanya menunggu bantuan kerajaan. Kefahaman terhadap dasar semasa akan membantu komuniti membuat keputusan yang lebih baik untuk masa depan mereka.
“Rakyat yang celik dasar akan lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dan menyumbang secara konstruktif kepada pembangunan komuniti,” katanya semasa Program Jiwa Komuniti MADANI: Sembang Santai 3.0 di Kampung Inderasabah, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah Kompeni Taktikal Inderasabah, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, ASP Afiz Abdullah dalam sesi Taklimat Keselamatan Kampung menekankan peranan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.
“Keselamatan kampung bermula dari mata dan telinga rakyat sendiri. Bila penduduk peka dan cepat lapor, kami lebih bersedia bertindak.
“Pencegahan jenayah lebih berkesan apabila masyarakat dan pihak berkuasa saling berkongsi maklumat secara pantas dan berterusan,” ujarnya.
Program anjuran kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Tawau itu diselangi sesi soal jawab terbuka yang memberi peluang kepada penduduk melontarkan pandangan serta cadangan secara langsung kepada pihak berwajib.
-RJ-