34 ORGANISASI TERIMA DANA INOVASI MEDIA FASA 1

34 ORGANISASI TERIMA DANA INOVASI MEDIA FASA 1
Category: Liputan Berita 2026

PUTRAJAYA, 17 Mac – Sebanyak 34 daripada 50 organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) dipilih sebagai penerima Dana Inovasi Media Fasa 1.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, dana berkenaan dijangka menjadi pemangkin inovasi sekali gus memperkukuh daya saing industri media tempatan dalam menghadapi landskap digital yang semakin dinamik.

“Industri media kini melalui fasa perubahan pesat susulan perkembangan teknologi digital, perubahan cara masyarakat mendapatkan maklumat dan tekanan terhadap model perniagaan media tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Inovasi Media Fasa 1 di sini.

Datuk Abdul Halim berkata organisasi dan pengamal media perlu terus menyesuaikan diri, berinovasi dan memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal relevan, berkualiti serta dipercayai.

Ia bertujuan memperkasa organisasi media untuk meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan, di samping memperkukuh keupayaan menghadapi landskap media yang semakin mencabar.

Empat skop utama ditawarkan melalui pembiayaan dana berkenaan, iaitu latihan pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta kemudahan sokongan, selain penyelidikan dan pembangunan kandungan.