15 SEPT 2025 (UTUSAN BORNEO ONLINE) HARI KEBANGSAAN, HARI MALAYSIA PERLU JADI WADAH SEMAI SEMANGAT CINTAKAN NEGARA

Category: Liputan Berita 2025

KUCHING: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak boleh dilihat sekadar acara tahunan yang diraikan sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, ia perlu menjadi wadah untuk menyemai semangat kecintaan kepada negara dalam kehidupan seharian.

“Komuniti Madani perlu terus diperkukuh dengan nilai kerjasama, hormat-menghormati serta semangat bergotong-royong bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jiwa@Komuniti Madani: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Bersama Komuniti Madani di Balai Raya Kampung Opar di Lundu, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Billy mengingatkan para belia agar tidak melupakan jasa pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Menurutnya, generasi muda perlu menghayati sejarah dan memupuk rasa tanggungjawab dalam menjaga perpaduan bangsa.

“Negara ini adalah milik kita bersama, maka generasi muda perlu menjadi penerus perjuangan dengan semangat baharu serta pemikiran yang progresif,” katanya.

– oleh Utusan Borneo