4 OGOS 2025 (MALAYSIA AKTIF) KARNIVAL KITA MADANI SELANGOR TEKAN KEPENTINGAN PENGGUNAAN INTERNET SELAMAT

Category: Liputan Berita 2025

DAMANSARA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Karnival Kita MADANI peringkat negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kayu Ara, di sini semalam menekankan kepentingan penggunaan internet secara selamat dalam era digital masa kini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata karnival itu bertujuan berkongsi maklumat serta menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai ancaman siber dan langkah-langkah pencegahan, termasuk penipuan dalam talian yang kini melibatkan mangsa daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam dan kanak-kanak.

“Zaman internet ini memberi peluang besar untuk kita memanfaatkan platform digital dan pasaran global.

“Namun, ia juga menuntut perubahan gaya hidup dan keperluan untuk bergerak ke hadapan secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan MADANI komited untuk menangani jenayah siber menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada serta terus memupuk kesedaran digital dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata internet kini dilihat sebagai satu keperluan asas penting, seiring dengan elektrik dan air, dalam memastikan keterhubungan rakyat di era moden.

Ujarnya, sebagai inisiatif menyokong usaha pendigitalan negara, sebanyak 50 unit komputer riba turut disampaikan kepada golongan B40 bagi merapatkan jurang digital dan membuka akses kepada pendidikan serta peluang ekonomi.

Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan pameran berkaitan keselamatan internet dan teknologi digital.

-RI