BAU, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Kampung Daun Singai bersama penduduk tempatan mengambil peluang cuti umum untuk bergotong-royong membersihkan dan menceriakan kawasan sekitar kampung dalam Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan anjuran Jabatan Penerangan Daerah Bau, yang berlangsung di Pondok KRT dan RELA kampung tersebut hari ini.
Aktiviti yang berlangsung meriah ini disertai oleh penduduk tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang, melambangkan semangat perpaduan dan nilai murni masyarakat Malaysia.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Daun Singai yang juga ketua kampung, Roystein Giles, 40, mengetuai aktiviti tersebut dengan memberikan taklimat ringkas sebelum memulakan gotong-royong bersama komuniti.
Dalam ucapannya, Roystein menekankan kepentingan semangat kejiranan dan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung, terutama golongan muda.
“Syukur atas penyertaan yang begitu menggalakkan daripada penduduk kampung. Nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama dan saling menghormati jelas terpancar dalam kalangan peserta, tanpa mengira umur, jantina atau latar belakang,” katanya.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Penerangan Daerah Bau, Sumardi Sugiman, dan diyakini mampu memberi impak positif, termasuk meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif kerajaan serta isu-isu semasa dalam kalangan komuniti.