TAWAU: Lebih 20 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan menyertai Program Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) yang berlangsung di Kampung Batu Payung, di sini, Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd. Noor berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan secara terus di lokasi tanpa perlu ke pejabat agensi berkaitan.
“Tujuan program ini adalah menyantuni masyarakat menerusi penyampaian perkhidmatan kerajaan di luar waktu pejabat.
“Ia melibatkan lebih 20 agensi kerajaan yang hadir terus ke lapangan,” katanya ketika ditemui media, di sini.
Katanya, antara objektif penganjuran program itu adalah memperluaskan penyebaran maklumat kerajaan secara berkesan.
“Selain itu, mengeratkan perpaduan antara kaum dan budaya dalam semangat muhibah serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat menerusi komunikasi yang inklusif.
“Program ini turut dijayakan bersama 21 Komuniti MADANI di sekitar Tawau yang bertindak sebagai rakan strategik Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.
Jainisah berkata, Karnival Kita MADANI X PMR turut berperanan sebagai pra-publisiti kepada Program MADANI Rakyat (PMR) yang akan diadakan buat pertama kali di Tawau bermula 9 hingga 11 Mei ini.
“Penganjuran karnival ini adalah hasil kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Jabatan Penerangan Malaysia bagi menguar-uarkan PMR kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, PMR Sabah 2025 yang membawa tema ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’ adalah anjuran Jabatan Perdana Menteri menerusi PACU dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kerajaan Negeri Sabah.
“Tema ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani kemiskinan tegar secara mampan dan menyeluruh melalui pendekatan keusahawanan.
“Program itu juga dapat memberi ruang kepada rakyat untuk memahami, menilai dan melihat sendiri dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup,” katanya/
Majlis perasmian PMR akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Mei 2025 (Ahad) jam 2.00 petang di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau./Penerangan-