AHLI MUZIK KEKAL RELEVAN WALAUPUN ERA AI MENINGKAT

AHLI MUZIK KEKAL RELEVAN WALAUPUN ERA AI MENINGKAT
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Ismalia Hasimi (Sarawak)

SHAH ALAM, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Walaupun kecerdasan buatan (AI) semakin meluas digunakan dalam industri muzik, peranan manusia tetap relevan dan signifikan.

Kesedaran ini menjadi fokus Kursus Training Road Map (TRM) Ahli Muzik 2026 yang berlangsung sejak Selasa hingga semalam di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, di sini.

Program ini menghimpunkan Ahli Muzik Cawangan PENTARAMA dari ibu pejabat, Sabah dan Sarawak, sebagai platform meningkatkan kefahaman dalam penghasilan lagu, memperluas kemahiran studio rakaman, serta memahami perkembangan terkini industri muzik.

Sesi perbincangan kumpulan bagi penghasilan lagu dengan bantuan AI.

Kursus tiga hari itu menekankan penggunaan teknologi digital dan AI dalam penghasilan muzik, tanpa mengabaikan sentuhan kreativiti manusia.

Para peserta didedahkan kepada teknik susunan muzik, rakaman instrumen, dan pendekatan produksi selaras keperluan industri kreatif masa kini.

Barisan penceramah berpengalaman seperti Helen Yap, Alfa Booty dan Rumie Booty berkongsi strategi mengekalkan keaslian karya muzik walaupun AI semakin meluas digunakan.

Alfa Booty memberi penerangan mengenai kemahiran asas kerja studio rakaman kepada peserta kursus.

“Ahli muzik hari ini bukan sahaja perlu mahir bermain instrumen, tetapi juga memahami teknologi dan perkembangan semasa. Penguasaan teknologi, termasuk AI, bukan untuk menggantikan kreativiti, tetapi memperkukuh dan memperluaskan potensi karya muzik ke tahap lebih tinggi,” tegas Helen Yap semalam.

Melalui perkongsian ilmu ini, peserta dijangka mampu memperkasa bakat, meningkatkan profesionalisme, serta menyokong aspirasi Kementerian Komunikasi dalam memartabatkan industri muzik tanah air.

-RJ-