BANJIR MUKAH RAIH PERHATIAN HANIFAH

BANJIR MUKAH RAIH PERHATIAN HANIFAH
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Salleh Bin Immun (Sarawak)

MUKAH, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan rendah di Mukah sejak awal Januari lalu sehingga kini mendapat perhatian Ahli Parlimennya Dato Hajah Hanifah Hajar Taib.

Antara kawasan terjejas melibatkan Kampung Sitieng hingga Skoyan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian serta Nanga Sikat hingga Tanjung Pedada di DUN Tellian, dengan paras air mencecah sehingga satu meter.

ADUN N57 Tellian, Royston Valentine (dua kanan) bersama ADUN N58 Balingian, Abdul Yaakub Arbi mengiringi Hanifah meninjau kawasan terjejas banjir sambil menerima taklimat ringkas daripada Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman (kanan sekali).

Hanifah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata kejadian banjir kali ini disifatkan luar biasa dan berkemungkinan dipengaruhi perubahan iklim serta hujan berterusan.

“Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan berwaspada dengan menyediakan keperluan asas sekiranya diarahkan berpindah,” katanya ketika meninjau kawasan terjejas, di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mukah serta agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) atas pengurusan bencana yang tersusun.

Hanifah bersama Abdul Yaakub dan Royston menyerahkan bakul makanan kepada penduduk rumah panjang di Nanga Sikat/Tanjung Pedada bagi meringankan beban akibat banjir.

Pada lawatan itu, Hanifah turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk terjejas dan berharap keadaan banjir segera surut bagi membolehkan penduduk kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, seramai 1,088 penduduk terjejas melibatkan 22 rumah panjang, 45 rumah persendirian serta dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Nanga Sikat dan Sekolah Kebangsaan Kuala Kenyana.

-RJ-