Laporan/foto: Suhaime Sahirul/Mc Denver L Toni (Sipitang)
SIPITANG, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Program Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Mesapol memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk di samping menyokong perniagaan kecil dari kampung sekitar.
Pengurus NADI Mesapol Zuhair Calvin Ng Mohd Firdaus berkata program yang diadakan serentak di seluruh negara itu turut disertai Pejabat Penerangan Daerah Sipitang sebagai rakan strategik.
“Program ini bertujuan memberikan peluang kepada usahawan setempat memasarkan produk mereka,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini kelmarin.
Zuhair menjelaskan penganjuran tersebut menggalakkan komuniti setempat memberikan sokongan kepada usahawan dari Kampung Melalia, Kampung Ulu Lingkungan dan Kampung Pantai.
Antara pengisian program ialah jualan bazar raya, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan menganyam ketupat dalam kalangan dewasa.
Program tersebut turut menyediakan segmen khas bagi mempromosikan produk yang dipasarkan oleh usahawan yang hadir.

Usahawan tempatan Azhila Amaran mempromosikan produk jualan kuih tradisi semasa Bazar Raya NADI Mesapol bagi memperkukuh jualan usahawan luar bandar di daerah Sipitang, kelmarin.
Usahawan kuih tradisi Azhila Amaran, 40, berharap program seumpama itu diteruskan di luar bulan Ramadan agar manfaatnya dapat ditingkatkan terutama bagi pembangunan ekonomi desa.
“Saya dapat rasa program ini membantu usahawan mempromosikan produk jualan mereka dan berharap dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Azhila berkata dirinya telah hampir 10 tahun berkecimpung dalam perniagaan tersebut dan kini giat mempromosikan produk jualan secara dalam talian.
-RJ-