BDR: GARIS PANDUAN BABITKAN SEKTOR MEDIA AKAN DIPERKENAL

BDR: GARIS PANDUAN BABITKAN SEKTOR MEDIA AKAN DIPERKENAL
Category: Liputan Berita 2026

KUALA LUMPUR, 3 April – Garis panduan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor media bakal diperkenal mengambil kira operasi dan keperluan tugasan di lapangan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan mengenainya akan dibuat bersama Majlis Media Malaysia (MMM) dan organisasi media tempatan.

“Saya juga akan meminta Jabatan Penerangan mengambil tindakan berkaitan termasuk mendapatkan maklum balas daripada pengamal media. Selepas itu, sebarang pertimbangan lanjut akan dipanjangkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi meningkatkan kerjasama penguatkuasaan dalam membendung isu penipuan.

Datuk Fahmi turut memberi jaminan setiap keputusan berhubung pelaksanaan dasar BDR akan memastikan kebajikan pengamal media kekal terpelihara.