BKKI JAPEN SARAWAK AGIH BUBUR LAMBUK, PERKUKUH SILATURAHIM KAKITANGAN

BKKI JAPEN SARAWAK AGIH BUBUR LAMBUK, PERKUKUH SILATURAHIM KAKITANGAN
Category: Liputan Berita 2026

KUCHING – Bersempena dengan hari ke-13 umat Islam menjalani ibadah puasa, Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia, Sarawak telah menganjurkan Program Agihan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas 1447H di ruang legar jabatan berkenaan pada Selasa.

Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said berkata, penganjuran program tersebut memfokuskan kepada dua objektif utama iaitu mengeratkan silaturahim serta menjaga kebajikan sosial kakitangan di bawah naungan BKKI.

Menurut beliau, usaha sama kakitangan juga terserlah apabila mereka dilihat saling bergotong-royong pada sebelah pagi bagi menyiapkan bungkusan agihan tersebut.

“Ini adalah salah satu daripada maksud dan tujuan kita mengadakan program pada hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Selain agihan bubur lambuk, Sabri turut memaklumkan BKKI telah memanjangkan sumbangan kurma kepada kakitangan jabatan, termasuk kepada wakil-wakil yang bertugas pada peringkat daerah.

Dalam pada itu, beliau berharap agar inisiatif kebajikan seumpama itu tidak terhenti setakat di bulan Ramadan sahaja.

Beliau menyarankan agar majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak dapat dianjurkan secara usaha sama membabitkan pelbagai jabatan dan agensi lain bagi merancakkan lagi aktiviti jabatan.

“Saya berharap apa yang kita buat hari ini, walaupun dalam skala yang kecil, dapat dimanfaatkan dan menjadi penggerak untuk badan kebajikan kita melaksanakan program-program yang lebih bermanfaat pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Turut hadir Pengarah J-KOM Zon Sarawak, Ajes Tuah dan beberapa pegawai daripada agensi kerajaan lain.