DISKAUN 50% SEWA KEPADA PENIAGA KECIL DI LABUAN

DISKAUN 50% SEWA KEPADA PENIAGA KECIL DI LABUAN
Category: Liputan Berita 2026

LABUAN, 15 Mac – Diskaun 50 peratus kadar sewa diberikan kepada peniaga kecil di kawasan bandar bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, diskaun tersebut telah dilaksanakan untuk premis niaga di Pasar Sentral Labuan dan akan terus dinikmati oleh hampir 517 peniaga sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, pelaksanaan insentif itu dibuat susulan tekanan ekonomi global serta peningkatan kos sara hidup yang dihadapi peniaga kecil ketika ini.

Menurutnya, langkah berkenaan melibatkan implikasi kewangan hampir RM450,000 setahun yang ditanggung oleh Perbadanan Labuan.

Selain itu, inisiatif sama turut diperluaskan kepada 56 peniaga kecil yang beroperasi di Medan Selera Labuan serta Anjung Selera Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan peniaga yang ingin menikmati insentif berkenaan perlu terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menerima pengurangan kadar sewa.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan nyata kepada para peniaga kecil tanpa menjejaskan keupayaan Perbadanan Labuan untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada warga Labuan,”katanya kepada pemberita pada Majlis Nur Ramadan Bersama Media di sebuah hotel di sini.

Majlis turut dihadiri penggiat media termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, BERNAMA serta wakil media cetak.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Lo Su Fui, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Muhammad Azmi Mohd Zain serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.