Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN
CYBERJAYA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Kenderaan pelbagai fungsi (MFV) JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) akan membantu menyebarluaskan maklumat dan produk kerajaan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan lebih berkesan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif baharu JAPEN itu juga membolehkan jabatan berkenaan menyampaikan maklumat dengan lebih interaktif, kreatif dan menarik.
“Ia boleh digunakan untuk pelbagai acara. Jadi, saya lihat ini adalah satu pelaburan yang sangat tepat dan sangat baik,” katanya kepada media selepas melancarkan JAGO, di sini hari ini.
Fahmi berkata JAPEN ketika ini telah menerima empat unit JAGO dan bakal menerima tambahan empat lagi unit pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kita akan laksanakan program jerayawara untuk menyampaikan maklumat mengenai usaha, produk-produk yang telah dihasilkan kerajaan supaya sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.
JAGO dilengkapi dengan paparan Diod Pemancar Cahaya (LED), sistem siar raya, peralatan kamera dan multimedia, pentas tambahan serta ruang perbincangan, membolehkan pelaksanaan program komunikasi secara lebih dinamik dan berkesan.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 unit MFV diperoleh secara berperingkat sehingga tahun 2028 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), melibatkan peruntukan sebanyak RM8.8 juta bagi memperkukuh keupayaan penyampaian maklumat kerajaan ke peringkat akar umbi.
-FN