JAPEN LAKSANAKAN PROJEK SAM SK SIKAMAT

Category: Liputan Berita 2025

Oleh Zihan Zari

SEREMBAN – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) berjaya melaksanakan projek Sekolah Angkat MADANI (SAM) menerusi peruntukan berjumlah RM100,000 yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) bagi penambahbaikan infrastruktur melalui penyediaan peralatan baharu di tiga ruang pembelajaran utama iaitu Pusat Akses, Bilik Pemulihan Khas dan Makmal Komputer di Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat.

Ketua Pengarahnya, Julina Johan telah menyempurnakan penyerahan projek SAM di SK Sikamat yang dihadiri lebih 1,000 khalayak termasuk murid, guru, komuniti setempat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dekat sini baru-baru ini.

JAPEN dalam kenyataan berkata pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur di SK Sikamat turut melibatkan kerjasama antara JAPEN dan Kementerian Kewangan (MoF); Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan; Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS); Pejabat Pendidikan Daerah Seremban; serta warga SK Sikamat.

“Secara keseluruhan, pelaksanaannya telah menyediakan asas penambahbaikan infrastruktur yang signifikan terhadap persekitaran pembelajaran.

“Melalui usaha menaik taraf tiga ruang utama sekolah, projek ini memberi manfaat terus kepada hampir 1,600 orang warga sekolah yang menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), ”kata kenyataan itu.

“SAM merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, di mana Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) sebagai agensi pemantau SAM.

“Inisiatif ini menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) melalui penglibatan kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat disampaikan dengan pantas, berkesan dan bersifat whole-of-government, ”katanya.

“Kos keseluruhan Projek SAM di SK Sikamat merangkumi kerja-kerja penambahbaikan, penyediaan kemudahan asas serta penggantian peralatan yang diperlukan bagi memastikan ruang pembelajaran berfungsi dengan lebih kondusif dan selamat untuk murid.

“Projek ini telah bermula pada 26 September 2025 dan disiapkan lebih awal daripada tempoh kontrak, iaitu pada 13 November 2025 berbanding tarikh kerja siap yang sebenar iaitu pada 21 November 2025, ”katanya lagi.

“Sempena majlis penyerahan SAM pelbagai pengisian program diadakan antaranya, Program PENTARAMA Homecoming (Edisi Khas), Sembang Santai Kenegaraan , Peragaan Busana Tradisional dan Permainan Interaktif.

“PENTARAMA merupakan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh JAPEN iaitu hiburan bermaklumat yang disampaikan secara santai dan interaktif.

“Selain itu, berperanan sebagai platform untuk memperkukuh semangat patriotisme, jati diri serta kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid, khususnya murid sekolah rendah.

“Pendekatan ini dijangka dapat memperkukuh nilai tambah penganjuran melalui penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan secara hiburan bermaklumat, di samping pengukuhan jalinan kerjasama strategik antara JAPEN, Jabatan Pendidikan dan pihak sekolah,”ujarnya.

Tambahnya, pada tahun ini, program ini telah diperluaskan pelaksanaannya ke 22 buah sekolah rendah terpilih yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah dengan mencatatkan jumlah penyertaan keseluruhan seramai 20,118 orang pelajar.

Turut hadir, Pengarah Kanan (Pengurusan ) JAPEN, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNS, Aminuddin Kamisan; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Hj. Norazam Nayan; Pengarah JAPEN Negeri Sembilan, Supian Musa; Guru Besar SK Sikamat, Mohd Rashed Sahroni; dan Yang Dipertua PIBG SK Sikamat, Dr. Ahmad Al Shahir Al Sabri.-SUARA.TV