JAPEN SABAH SASAR 40 PROGRAM PENTARAMA DI SEKOLAH, FOKUS INTERNET SELAMAT

JAPEN SABAH SASAR 40 PROGRAM PENTARAMA DI SEKOLAH, FOKUS INTERNET SELAMAT
Category: Liputan Berita 2026

KENINGAU: Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JAPEN) memperluaskan program PENTARAMA berkonsep didik hibur ke 40 sekolah di seluruh negeri tahun ini bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap dasar kerajaan, keselamatan internet serta isu buli.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, inisiatif itu merangkumi Pentarama Homecoming untuk sekolah rendah serta Pentarama X Kelab Malaysiaku bagi sekolah menengah.

“Program ini menjadi platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada murid dan pelajar secara lebih santai serta interaktif.

“Tahun ini, pelaksanaannya ditingkatkan kepada 20 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah berbanding hanya 10 sekolah tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pentarama X Kelab Malaysiaku di SMK Keningau II, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan turut melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“MCMC memberikan pendedahan berkaitan Kempen Internet Selamat, manakala PDRM menyampaikan taklimat mengenai pencegahan buli dalam kalangan pelajar.

“Program ini berlangsung dari April hingga September dan diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar terhadap penggunaan internet secara selamat serta mengurangkan kes buli di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SJK (C) Yuk Yin Keningau Chong Vun Siong berkata Pentarama Homecoming membantu memperkukuh semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid

Beliau berharap pelaksanaan program itu diteruskan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu semasa serta aspek keselamatan dalam penggunaan multimedia.

Program berkenaan turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi kuiz, permainan interaktif, peragaan busana etnik tempatan serta persembahan lagu patriotik.

Turut hadir Penolong Pengarah MCMC Keningau Syafiera Sukor; Pengetua SMK Keningau II Ahmud Saribin; pegawai Cawangan Khas IPD Keningau Inspektor Hazwan Kuik @ Haris; serta Pegawai Penerangan Daerah Keningau Mohd Said Kalihing.