Laporan/foto: Suhaila Batun/Nur Azean Makbul (Tuaran)
TUARAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI dan Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran meriah dengan kehadiran orang ramai bagi mendapatkan barangan keperluan perayaan.
Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tuaran Mansur Rahman berkata program tersebut bertujuan membantu meringankan kos sara hidup masyarakat setempat.
“Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila barangan asas yang dijual hampir habis seawal jam 10 pagi,” katanya ketika ditemui di perkarangan parkir IPD Tuaran, kelmarin.

Mansur Rahman (tengah) melakukan cabutan tiket bertuah sempena Program Hari Bertemu Pelanggan IPD Tuaran sebagai tanda penghargaan kepada komuniti setempat yang hadir, kelmarin.
Mansur menjelaskan penganjuran tersebut turut berperanan mengeratkan hubungan antara PDRM dan komuniti melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.
Beliau berkata antara pengisian program ialah cabutan tiket bertuah, kaunter pembayaran zakat serta podcast bersama pegawai PDRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sempena Hari Bertemu Pelanggan, PDRM turut menyediakan perkhidmatan semakan saman serta kaunter aduan yang melibatkan 10 ketua bahagian.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan reruai penerangan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) oleh Aman Wanita (AMANITA) serta reruai kesedaran jenayah penipuan dalam talian.
Seorang pengunjung Hamidah Yussiri, 42, berkata beliau hadir seawal pagi selepas mendapat maklumat melalui media sosial Jabatan Penerangan Daerah Tuaran.

Hamidah (dua dari kiri) antara pengunjung yang hadir untuk berbelanja di jualan Rahmah.
“Saya hadir segera kerana harga barangan yang ditawarkan murah serta boleh berjimat untuk persiapan raya,” ujarnya.
Hamidah berharap program seumpama itu diteruskan pada masa hadapan dengan menambah lebih banyak pilihan barangan keperluan.
-RJ