KARNIVAL KITA MADANI MEDAN HEBAHAN AWAL PROGRAM MADANI RAKYAT PERINGKAT PERAK

KARNIVAL KITA MADANI MEDAN HEBAHAN AWAL PROGRAM MADANI RAKYAT PERINGKAT PERAK
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Sarah Nur/Mohd Fauzi (Perak)

IPOH, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Karnival Kita MADANI x Program MADANI Rakyat (PMR) 2.0 akan diadakan pada hari ini sehingga esok (28 Mac) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS).

Azrul Hasan ketika ke udara di PerakFM
bagi mempromosikan Karnival Kita
MADANI x Program MADANI Rakyat 2.0.

Karnival hasil kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Perak itu turut mendapat sokongan padu pelbagai agensi antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa syarikat telekomunikasi.

Pengarah JAPEN Perak Azrul Hasan berkata karnival dua hari itu berfungsi sebagai ‘jambatan’ untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyediaan pelbagai perkhidmatan agensi secara terus kepada masyarakat.

“Ia juga menjadi ‘pemanas badan’ atau hebahan awal sebelum acara kemuncak Program MADANI Rakyat Peringkat Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 April depan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya,” katanya dalam satu temu bual bersama Perak FM, di sini semalam.

Mengulas mengenai pengisian program, Azrul berkata pelbagai aktiviti menarik telah disusun merangkumi aspek kebajikan, ekonomi dan santai.

“Pada Jumaat, program dimulakan dengan ziarah kasih ke rumah penduduk terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta pada sebelah petang, diikuti tayangan Wayang Pacak dan persembahan buskers pada sebelah malam.

(Dari kiri) DJ Miem, Azrul Hasan dan DJ Rose.

“Bagi hari Sabtu pula, pengunjung berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas melalui Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI seawal jam 8 pagi, selain menyertai Senam Raya Madani, pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran pendidikan TVET,” katanya.

Tambahnya, beberapa acara kompetitif turut diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri termasuk Pertandingan Karaoke Raya, Pakaian Raya Sedondon, Ikatan Kain Samping dan Anyaman Ketupat.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa penyertaan bagi Pertandingan Mewarna Kanak-kanak telah ditutup kerana telah mencapai kuota 50 peserta, namun pendaftaran bagi kategori lain masih dibuka secara jumpa terus pada pagi Sabtu.

Azrul menyeru seluruh warga Perak khususnya penduduk sekitar Ipoh untuk hadir memeriahkan karnival tersebut bagi mendapatkan manfaat daripada inisiatif yang disediakan kerajaan.

-RI