Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN
CYBERJAYA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan menggariskan empat fokus dalam memperkukuh dan meremajakan peranan jabatan sebagai jentera komunikasi kerajaan yang berwibawa untuk tahun 2026.
Bercakap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah JAPEN, di sini hari ini, Julina berkata fokus pertama iaitu memperkukuh mode penyampaian kerajaan menuntut suntikan ‘jiwa’ ke dalam setiap naratif yang dizahirkan.
JAPEN katanya perlu beralih daripada gaya komunikasi bersifat keras dan defensive kepada pendekatan yang lebih empati, segar dan berupaya menyentuh sanubari rakyat.
“Apabila mode komunikasi kita berupaya meyakinkan dan menarik perhatian rakyat, barulah setiap mesej JAPEN dipandang oleh mata, didengar sang telinga, terpahat di hati dan disebarkan dengan jari,” katanya.
Julina berkata strategi komunikasi embodiment atau secara bersemuka antara inisiatif yang boleh dilaksanakan dalam menjayakan fokus memperkukuh mode penyampaian kerajaan.
“Sebagai contoh, prinsip embodiment dalam usaha JAPEN menghebahkan inisiatif Sumbangan Asas RAHMAH atau SARA kepada masyarakat dengan menampilkan susuk tubuh penerima manfaat dalam konsep video yang berkongsi cerita bagaimana mereka menghargai bantuan yang diberikan kerajaan.
“Penceritaan susuk tubuh penerima manfaat akan dirasai oleh masyarakat umum dan secara langsung membawa mesej bahawa sesungguhnya kerajaan prihatin dalam meringankan beban rakyat,” katanya.
Menyentuh fokus kedua iaitu pendigitalan core business JAPEN, Julina berkata perkara itu menjadi nadi utama jabatan dengan tahun 2026 menyaksikan pelaksanaan aplikasi dan sistem seperti JAPEN ON Mobile (JOM) yang bertindak sebagai mobile archive dan data informasi kepada semua Pegawai Penerangan Daerah dan Pegawai Lapangan.
Pendigitalan teras perkhidmatan lain JAPEN juga menurutnya antaranya adalah IRIS atau Integrated Reporting & Information System serta pendigitalan Kad Perakuan Media bagi membolehkan pengesahan identiti dilakukan dengan lebih pantas, selamat dan efisien dalam kalangan pengamal media.
“Fokus ketiga pula iaitu Succession Planning, Kemahiran dan Pengetahuan Pasukan JAPEN. Sesungguhnya strategi succession planning penting dalam kita merencanakan pembangunan modal insan JAPEN bagi memastikan jabatan sentiasa ada pelapis kepimpinan dan bakat utama yang bersedia menggantikan jawatan kritikal.
“Selain itu, jika kita mahu kekal relevan, bakal pemimpin masa depan perlu dilengkapi dengan ilmu dan kecekapan yang tinggi. Justeru, pendedahan melalui kursus dari pelbagai bidang dan disiplin termasuk kursus di luar negara diwujudkan,” katanya.
Mengenai Pembangunan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) JAPEN sebagai fokus keempat bagi tahun ini, Julina berkata ia akan dirangka dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi mengenal pasti semua risiko utama yang boleh mendorong kepada amalan rasuah serta memperkenalkan pelbagai langkah pencegahan yang efektif.
“Memasuki tahun 2026, kita perlu bersiap siaga menghadapi cabaran landskap komunikasi yang semakin kompleks serta ditambah dengan tuntutan bagi memenuhi keperluan stakeholder.
“Fokus utama pada tahun ini adalah memperkukuh dan seterusnya “meremajakan” peranan JAPEN sebagai jentera komunikasi kerajaan yang berwibawa,” katanya.
-FN