KPN SALUR RM600,000 PERKASA PROGRAM SATELIT KOMUNITI RAKYAT MADANI 2026

KPN SALUR RM600,000 PERKASA PROGRAM SATELIT KOMUNITI RAKYAT MADANI 2026
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)

IPOH, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI terus diperkasa apabila Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyalurkan peruntukan berjumlah RM600,000 kepada komuniti di seluruh negara bagi melaksanakan aktiviti perpaduan peringkat akar umbi.

Datuk Aaron ketika berucap di Majlis Penyerahan
Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat
MADANI 2026, semalam.

 

Peruntukan diserahkan melalui Majlis Penyerahan Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI 2026 yang disempurnakan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang di Pusat Pusat NADI Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 (NADI KDAST), di sini semalam.

Menurut Aaron, program berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti berbilang kaum.

“Program ini adalah manifestasi nilai Ihsan dalam Rukun MADANI, yang menekankan keprihatinan, tanggungjawab bersama dan kesungguhan membina masyarakat yang harmoni dan inklusif,” katanya.

Program Satelit Komuniti MADANI akan dilaksanakan di 15 lokasi luar tapak Program MADANI Rakyat (PMR) dan tiga lokasi khas penganjuran Kenduri Rakyat MADANI oleh agensi terlibat pada tahun ini  berbanding 10 lokasi pada tahun lalu.

Tujuh agensi pelaksana utama terlibat dalam inisiatif ini, antaranya Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Bahagian Kawal Selia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa KRT bagi menyaksikan penyerahan cek cura tersebut.

Sebanyak 120 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menerima manfaat peruntukan tahun ini, termasuk 10 KRT di Bandar Ipoh yang masing-masing menerima RM5,000 bagi melaksanakan program komuniti.

Aaron, berkata KRT merupakan barisan hadapan perpaduan negara kerana berada paling dekat dengan masyarakat.

Menurutnya, KPN akan menggandakan usaha pada tahun ini termasuk meneroka kerjasama strategik bersama syarikat korporat dan GLC bagi memperkukuh pemerkasaan komuniti.

-RI