KURSUS INTEGRITI LAHIR PENJAWAT AWAM BERPRINSIP

KURSUS INTEGRITI LAHIR PENJAWAT AWAM BERPRINSIP
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 26 April (MalaysiaAktif) – Penjawat awam perlu sentiasa mengikuti program pengukuhan integriti demi melahirkan kakitangan kerajaan yang berprinsip serta telus dalam melaksanakan amanah.

Sebastian Victor, 35, berkata pendedahan kepada peraturan dan undang-undang sangat penting dalam membentuk jati diri penjawat awam yang unggul dalam sesebuah organisasi.

“Kursus Pengukuhan Integriti Siri 1/2026 Zon Sabah Sarawak misalnya memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi masa depan yang berintegriti sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang bebas daripada gejala negatif.

“Kursus ini turut memberi pendedahan mengenai langkah efisien bagi memupuk budaya kerja beretika di samping memperkukuh nilai murni dalam jabatan,” katanya kepada Malaysia Aktif selepas menghadiri kursus berkenaan di sini Jumaat lalu.

Seramai 30 kakitangan di bawah Kementerian Komunikasi melibatkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menyertai kursus tersebut yang berakhir kelmarin.

Seorang lagi peserta, Repina Matnin, 35, percaya kursus seumpama itu membuka ruang penambahbaikan kualiti perkhidmatan selain mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

“Kami mengikuti pembentangan kertas kerja merangkumi topik Pelan Tindakan Integriti Diri, Pembinaan Imej serta Konsep Asas Integriti dalam organisasi,” katanya.

Repina menambah bahawa aktiviti interaktif berkumpulan yang dijalankan sepanjang tiga hari kursus membantu peserta memahami dasar integriti kumpulan secara lebih mendalam.

-RJ