LEBIH 1,000 PENGUNJUNG DAPATKAN PELBAGAI PERKHIDMATAN DI PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN IPD TUARAN

LEBIH 1,000 PENGUNJUNG DAPATKAN PELBAGAI PERKHIDMATAN DI PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN IPD TUARAN
Category: Liputan Berita 2026

16 Mac 2026

TUARAN: Kira-kira 1,000 orang pengunjung membanjiri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran pada Sabtu lepas bagi menyertai Program Hari Bertemu Pelanggan dan Jualan Rahmah MADANI sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Program kolaboratif yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan merapatkan hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat setempat, selain memberi ruang kepada orang ramai untuk menyuarakan pandangan berkaitan isu keselamatan.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin. Menurut beliau, inisiatif sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan hubungan antara PDRM dan komuniti.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Tuaran, Jabatan Penerangan Daerah Tuaran, Jabatan Kerja Raya Tuaran, Pejabat Daerah Tuaran serta Majlis Daerah Tuaran.

Pelbagai pengisian interaktif dan bermanfaat disediakan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung. Antaranya termasuk Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, Podcast Tips Pencegahan Jenayah, pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP), dan QR Code Aduan Masyarakat.

Selain itu, kaunter Talk To Us / Amanita, semakan saman trafik, khidmat nasihat semakan Mule Account (JSJK) serta cabutan bertuah turut menarik perhatian pengunjung.

Turut memeriahkan suasana ialah Pemimpin Pembangunan Masysrakat (PPM) bagi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman, Hj. Murneh Hj. Lamsari, Pegawai Penerangan Daerah Tuaran Nur Azean Makbul, serta Ketua Perdagangan Dalam Negeri Cawangan Tuaran Fredlee Sintau, bersama barisan pegawai dan anggota IPD Tuaran.

Program yang berlangsung dalam keadaan terkawal dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini ini merupakan inisiatif proaktif IPD Tuaran untuk mendekati masyarakat.