CYBERJAYA – Aplikasi MCMC NEXUS dilancarkan pada Selasa sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem digital negara, selain meningkatkan kualiti pemantauan rangkaian internet secara masa nyata.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bukan sahaja memperluas keupayaan pemantauan liputan, malah membolehkan pengguna sendiri menilai prestasi rangkaian di kawasan masing-masing.
Menurutnya, akses kepada internet berkualiti kini bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya menjadi keperluan asas dalam kehidupan harian merangkumi pembelajaran, perniagaan, urusan kerajaan dan komunikasi.
“Setakat 31 Januari 2026, sebanyak 9.82 juta premis telah mempunyai akses jalur lebar gentian optik, melepasi sasaran asal 9 juta premis.
Hadir sama, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, pencapaian itu perlu diukur bukan sahaja dari segi liputan, tetapi juga pengalaman sebenar pengguna.
Sehubungan itu, ujarnya, aplikasi MCMC NEXUS memainkan peranan penting dengan membolehkan pengguna menguji kelajuan internet serta menyumbang data prestasi rangkaian di lokasi masing-masing.
Beliau berkata, keberkesanan sistem itu turut terbukti melalui pengoperasian Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC NEXUS yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan rangkaian ketika acara besar negara sepanjang 2025.
“Pendekatan berasaskan data ini membolehkan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih fokus, selain memastikan komitmen penyedia rangkaian dapat dipantau dengan lebih telus,” tambahnya.
Ujarnya, platform itu juga memperkasa perniagaan, memperluas akses pendidikan digital serta meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah ekonomi digital yang inklusif dan mampan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama strategik turut dijalin bersama pelbagai rakan industri termasuk RTM, FGV Prodata Systems Sdn Bhd, SPX Express Sdn Bhd, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Turut terlibat, ZUS Coffee, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Fintech Association of Malaysia, Favoriot Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn. Bhd., Consumer Forum of Malaysia (CFM), Malaysian Technical Standards Forum Bhd. (MTSFB), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Beliau berkata, kolaborasi itu merangkumi pelbagai sektor seperti telekomunikasi, penyiaran, Internet Kebendaan (IoT), logistik dan sektor komersial bagi memperkukuh ekosistem digital negara.
Sementara itu, Nie Ching berkata, aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna kekal menjadi keutamaan dengan aplikasi MCMC NEXUS telah menjalani pengujian bebas serta memperoleh pensijilan rasmi pada 30 Mac 2026 di bawah piawaian ISO/IEC 17025.
Ujarnya, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) turut mengesahkan aplikasi berkenaan tidak mengumpul sebarang maklumat pengenalan peribadi (PII), sebaliknya hanya merekodkan data prestasi rangkaian yang dianonimkan sepenuhnya serta mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Beliau berharap aplikasi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan kualiti rangkaian negara.