MCMC NEXUS SELESAI ISU LIPUTAN SESUATU KAWASAN SECARA KHUSUS – NIE CHING

MCMC NEXUS SELESAI ISU LIPUTAN SESUATU KAWASAN SECARA KHUSUS - NIE CHING
Category: Liputan Berita 2026

CYBERJAYA: Isu membabitkan liputan isyarat lemah atau tiada capaian di kawasan tertentu khususnya di kampung, kini dapat dikenal pasti lebih tepat menerusi aplikasi MCMC Nexus.

Sistem operasi ‘auto alert’ yang diperkenalkan dalam aplikasi berkenaan membolehkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengesan isu liputan secara automatik, seterusnya menjalankan siasatan dan menyediakan pelan penyelesaian bagi meningkatkan kualiti rangkaian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata penyediaan aplikasi itu menandakan satu langkah transformasi penting dalam memperkasa rakyat dan industri melalui pendigitalan.

“Selain mengenal pasti isu rangkaian, aplikasi diperkenalkan secara berperingkat sejak Februari 2025 ini membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperoleh analisis mendalam mengikut kawasan yang mengalami kelajuan rendah serta mengenal pasti lokasi yang memerlukan penambahbaikan segera.

“Aplikasi melalui platform ini dapat memperkasakan rakyat untuk memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kualiti rangkaian negara,” katanya selepas pelancaran aplikasi itu di Ibu Pejabat MCMC di sini hari ini, hari ini.

Menurut Nie Ching, pengguna bukan saja boleh memuat turun aplikasi, tetapi berupaya menguji kelajuan internet, dengan pembabitan orang ramai menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing tanpa membabitkan pengumpulan maklumat peribadi mereka.

“Aplikasi ini telah diuji secara rasmi oleh sebuah makmal ujian dan pensijilan bebas yang diakreditasi ISO/IEC 17025 dengan pensijilan rasmi dijangka tersedia dalam masa yang terdekat.

“Selain itu, aplikasi baharu ini turut mengenal pasti kawasan yang mempunyai liputan isyarat mudah alih lemah berdasarkan piawaian kualiti perkhidmatan (MSQOS) dan ini sekali gus membantu meningkatkan ketersambungan di seluruh negara,” katanya.

Katanya, menerusi data yang dikumpul secara masa nyata, analisis mendalam dapat dilakukan mengikut kawasan bagi mengenal pasti tahap prestasi rangkaian dengan lebih terperinci.

“Pendekatan ini membolehkan kita bukan sahaja melihat liputan secara umum, tetapi memahami pengalaman sebenar pengguna di sesuatu lokasi, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Tamabh Nie Ching, semua data dikumpul adalah tidak mendedahkan maklumat peribadi pengguna selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Maklumat ini akan membantu MCMC menganalisis prestasi rangkaian, mengenal pasti kesesakan serta kawasan liputan lemah dengan lebih tepat.

“Ia sekali gus membolehkan tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih bersasar termasuk meningkatkan kualiti internet dan merapatkan jurang digital,” katanya.

Dalam pada itu, katanya MCMC turut menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (JAPEN) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memperluas penggunaan aplikasi berkenaan.

“Kerjasama ini bertujuan meningkatkan capaian pengguna serta memperkukuh pengumpulan data bagi mencerminkan prestasi rangkaian sebenar di seluruh negara.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery,” katanya.

Dalam pada itu, Derek berkata aplikasi MCMC Nexus berfungsi sebagai alat sokongan aduan yang lebih telus dengan menyediakan bukti teknikal berkaitan kualiti rangkaian.

“Setiap titik data yang direkodkan menerusi aplikasi itu dikongsi secara serentak antara pengguna, pengawal selia dan penyedia perkhidmatan tanpa mendedahkan identiti pengguna.

“Ini bermakna pengguna bukan sekadar mendakwa internet perlahan, tetapi mempunyai data pengukuran sebenar yang boleh digunakan sebagai bukti,” katanya.