Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Nur Syafiq Kamaruzzaman (Shah Alam)
SHAH ALAM, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) digesa agar memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, sahih serta terkini sampai ke peringkat akar umbi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan mereka membawa tanggungjawab besar dalam memperkukuh komunikasi kerajaan, selain berfungsi sebagai barisan hadapan dalam menangkis fitnah dan maklumat palsu dalam kalangan rakyat.

Amirudin Shari menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada Panel Penasihat NADI Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, diiringi Menteri Komunikasi Dato’ Fahmi Fadzil dan Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin.
“Panel penasihat perlu menjadi antara individu terawal menerima maklumat yang tepat tentang sesuatu isu supaya boleh menjelaskan kepada komuniti apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr. Mohammad Fahmi Ngah.
Fahmi berkata penubuhan NADI di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hasil arahan Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) pada Februari 2023 yang menetapkan setiap DUN di seluruh negara perlu memiliki sekurang-kurangnya satu pusat sebaran maklumat bagi mendekatkan perkhidmatan dan informasi kerajaan dengan rakyat.
Menurutnya, NADI yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital kini memainkan peranan yang jauh lebih besar, bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi malah merangkumi peranan sebagai pusat sebaran maklumat, pembangunan komuniti dan pembinaan keupayaan rakyat.

Menteri Besar Selangor Datuk menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada Panel Penasihat NADI Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan keperluan kerjasama erat antara NADI, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Komuniti MADANI bagi memastikan usaha komunikasi kerajaan dapat digerakkan secara bersepadu dan berkesan.
“Komunikasi kerajaan bukan tanggungjawab satu kementerian atau seorang Menteri sahaja, ia perlu digerakkan bersama untuk menyampaikan maklumat yang betul dan menyangkal dakyah serta berita palsu,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata panel penasihat NADI yang baharu dilantik perlu menyampaikan maklumat yang tepat dan jelas kepada masyarakat secara berterusan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata penjelasan berhubung dasar dan inisiatif kerajaan seperti penyusunan semula subsidi perlu dibuat secara berulang kali bagi memastikan mesej sebenar sampai kepada golongan sasaran.
-RI