KUCHING: Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan menerima kunjungan hormat daripada rombongan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak di Ibu Pejabat UKAS di Bangunan Baitul Makmur hari ini.
Rombongan kunjungan hormat itu diketuai oleh Pengarah JAPEN Sarawak Sabri Said yang menerajui jabatan berkenaan sejak November 2025.
Pada pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi pelbagai kerjasama khususnya pengurusan komunikasi strategik dan membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara JAPEN dan UKAS bagi memperkukuhkan ekosistem komunikasi awam di Sarawak.
Fokus perbincangan turut menjurus ke arah aspek penulisan berita yang lebih berkesan dan berimpak, selari dengan keperluan penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan berintegriti kepada masyarakat.
Selain itu, kedua pihak turut memfokuskan aspek pengurusan media, khususnya pengendalian liputan semasa majlis rasmi, termasuk cadangan penambahbaikan dari segi penyelarasan dan kemudahan pengamal media.
Hadir sama pada kunjungan hormat tersebut ialah Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, barisan Ketua-ketua Penolong Pengarah UKAS, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Dr Nicholas Balawing Ibas, Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Izawati Eni serta Ketua Cawangan Pengurusan Joleen Vicky Keron.