SRI AMAN, 9 Jan: Kebajikan dan profesionalisme kakitangan dikenal pasti sebagai teras utama kepada keberkesanan penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat.
Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said berkata, penjawat awam yang sejahtera dari segi kebajikan akan lebih berintegriti, berdisiplin serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, manakala tahap profesionalisme yang tinggi pula menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap maklumat yang disampaikan.
Menurutnya, pegawai Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), khususnya di peringkat lapangan, perlu menguasai manual serta tatacara kerja secara menyeluruh bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara teratur, beretika dan menepati piawaian yang ditetapkan.
“Pegawai lapangan perlu memastikan setiap laporan yang disediakan adalah tepat, berkualiti dan berfakta, di samping merancang program secara sistematik serta melaksanakan penyelarasan yang berkesan antara agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus bersama kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman, di sini hari ini.
Dalam sesi tersebut, beliau turut menekankan kepentingan strategi penyebaran maklumat yang menyeluruh dan berimpak tinggi bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan sampai kepada rakyat dengan jelas dan tepat.
Selain itu, Sabri menegaskan bahawa kerja berpasukan serta komunikasi dalaman yang mantap merupakan elemen penting bagi memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan konsisten di semua peringkat.
“Keupayaan bekerja dalam satu pasukan yang kukuh akan mempertingkatkan penyelarasan tugasan serta memastikan setiap mesej kerajaan disampaikan dengan jelas, tepat dan berintegriti,” ujarnya.
Sesi libat urus berkenaan turut menjadi platform penting untuk mendengar pandangan serta cabaran yang dihadapi kakitangan di peringkat daerah, sekali gus memperkukuh hubungan antara pengurusan negeri dan pelaksana lapangan.
Program tersebut diadakan bagi memperkukuh prestasi perkhidmatan awam serta meningkatkan reputasi dan kredibiliti Jabatan Penerangan Malaysia sebagai agensi penyampai maklumat rasmi kerajaan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan JAPEN Sarawak, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang, kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman serta Pegawai Perhubungan Awam Hospital Sri Aman II.-TVS