SEMARAK RAMADAN DI ALOR GAJAH SATUKAN KOMUNITI

SEMARAK RAMADAN DI ALOR GAJAH SATUKAN KOMUNITI
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Program Edaran Bubur Lambuk sempena Bulan Ramadan anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka bersama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKD) Alor Gajah telah diadakan di Bazar Ramadan Pekan Alor Gajah, kelmarin.

Penyampaian bubur lambuk oleh Pegawai Daerah
Alor Gajah kepada wakil-wakil jabatan dan agensi
kerajaan di Alor Gajah

Penolong Pengarah Keselamatan Daerah Alor Gajah, Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka, Nur Hafifah Hazizi, berkata program ini bertujuan membina rasa kebersamaan, keprihatinan serta solidariti dalam kalangan masyarakat melalui agihan juadah tradisi Ramadan seperti bubur lambuk dan pulut hitam.

“Pendekatan santai, mesra serta berunsur kerohanian turut membantu mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap usaha yang dilaksanakan oleh pihak terlibat.

“Selain itu, pendekatan secara bersemuka digunakan bagi mendekati komuniti secara lebih dekat, sekali gus membina hubungan interpersonal yang lebih kukuh serta mengurangkan pengaruh naratif negatif melalui pendekatan lembut yang menyentuh hati masyarakat,” katanya.

Sesi penyerahan bubur lambuk kepada orang ramai

Program ini turut menyediakan rujukan zikir dan doa yang selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta berpandukan autoriti agama yang diiktiraf bagi menyelaraskan amalan dalam komuniti.

Selain itu, program juga diselitkan dengan sedikit perkongsian daripada Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Azreen Ahmad tentang tindakan negara mendepani kesan konflik Asia Barat yang dianggap relevan dan diterima oleh masyarakat.

-AA-