Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) — Kejayaan temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026 tidak hanya diukur melalui pencapaian atlet, tetapi turut dibantu oleh komitmen tinggi pengamal media yang bertindak sebagai nadi penyampaian maklumat sepanjang kejohanan.
Barisan petugas UKAS bergambar bersama Pengarah UKAS,
Awang Putrayusrie Awang Redzuan (tengah), selepas
menamatkan liputan komprehensif SUKSAR 2026.
Liputan komprehensif di venue Sri Aman, Lubok Antu dan Betong membuktikan kesiapsiagaan tinggi petugas media, khususnya Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sri Aman, dalam memastikan setiap perkembangan kejohanan sampai kepada masyarakat secara tepat dan pantas.
Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman Zaidil Ripin berkata liputan SUKSAR 2026 bukan sekadar tugas jabatan tetapi manifestasi kerjasama strategik UKAS, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) serta portal berita tempatan.
“Sinergi ini memastikan impak kejohanan dirasai secara menyeluruh di semua platform,” katanya ketika ditemui di sini.
Bahagian Sri Aman juga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menyatukan komuniti media daripada pelbagai agensi di bawah satu payung dengan penyelarasan oleh Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh.
Pendekatan ini memperkukuh jaringan komunikasi dan menjadikan liputan lebih efisien serta berstruktur.
Abdul Hadi berada di barisan hadapan merakam momen
ikonik SUKSAR 2026, menonjolkan profesionalisme meski
baru menyertai unit.
Di sebalik lensa, dedikasi jurugambar turut memainkan peranan penting.
Jurugambar UKAS, Abdul Hadi Tudin yang baru dua bulan menyertai unit tersebut sentiasa berada di barisan hadapan merakam momen-momen ikonik SUKSAR 2026.
“Walaupun mencabar dari segi logistik dan jadual padat, sokongan rakan media seperti RTM dan JAPEN memudahkan tugasan di lapangan,” katanya.
Pengorbanan dan dedikasi pengamal media ini menegaskan bahawa kejayaan sesebuah acara sukan berprestasi tinggi tidak hanya bergantung pada penganjuran, tetapi juga keberkesanan mereka yang bekerja di belakang tabir dalam mengangkat martabat sukan tanah air.
-RJ-