Laporan/foto: Amiruddin Adli (Terengganu)
KUALA NERUS, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Semangat kerjasama antara pasukan keselamatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terserlah menerusi penganjuran Program ‘Beach Plogging’: Sinergi Keselamatan Jalinan Kelestarian Pantai anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu yang berlangsung di Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam.

Mejar Mohd Hazril ketika menyampaikan ucapan.
Program berkonsepkan kolaborasi strategik itu berjaya menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu, bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan rakan strategik Geng Plastik Ija (GPI) dan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, sekali gus mencerminkan kesepaduan usaha pelbagai pihak dalam memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar, khususnya kawasan pantai.
Penyelaras Program, Mejar Mohd Hazril Hasan, berkata pendekatan sinergi antara pasukan keselamatan, NGO dan komuniti setempat bukan sahaja mampu memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi, malah berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan serta keselamatan kawasan pantai secara berterusan.

Hasil aktiviti plogging tersebut, sebanyak 260
bungkus plastik sampah berjaya dikumpulkan
dengan anggaran berat mencecah satu tan.
“Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa usaha pemeliharaan alam sekitar akan menjadi lebih berkesan apabila dilaksanakan secara kolektif dan bersepadu,” katanya.
Hasil aktiviti plogging (larian kutip) tersebut, sebanyak 260 bungkus plastik sampah berjaya dikumpulkan dengan anggaran berat mencecah satu tan, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan bersama dalam menangani isu pencemaran pantai.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang, selaras dengan aspirasi kelestarian negara.
-RI