SPOT-ME TINGKAT KECEKAPAN PENGURUSAN KEHADIRAN PENJAWAT AWAM

SPOT-ME TINGKAT KECEKAPAN PENGURUSAN KEHADIRAN PENJAWAT AWAM
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Cahris Yong Kiew Hee (Kuching)

KUCHING, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Sistem Pemantauan Operasi Tugas (SPOT-Me) dibangunkan Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi memperkasa pengurusan kehadiran penjawat awam di negara ini seiring arus pendigitalan sektor awam.

SPOT-Me diperkenalkan bagi menggantikan sistem perakam waktu tradisional dengan pendekatan lebih moden dan efisien.

Menerusi teknologi geolokasi pintar pada peranti mudah alih, pegawai boleh merekod kehadiran secara dalam talian dalam radius kawasan pejabat yang ditetapkan.

Sistem berpusat ini membolehkan pemantauan log masuk dilakukan secara masa nyata sekali gus meningkatkan ketelusan, integriti dan kecekapan pentadbiran.

Sejak Februari lalu, warga Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sarawak telah melaksanakan penggunaan aplikasi ini secara rasmi.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh budaya kerja profesional, berdisiplin dan menepati masa.

“Aplikasi ini membantu saya mengurus masa dengan lebih baik serta memastikan kehadiran direkod secara tepat dan telus,” kata Pembantu Penerangan Moses Andy Julino, 46, ketika ditemui Khamis lepas.

Beliau turut menghargai tindakan proaktif pihak pengurusan yang menitikberatkan kebajikan serta kemudahan kakitangan dalam melaksanakan tugas harian.

Pelaksanaan aplikasi pintar ini secara tidak langsung membantu penjawat awam mematuhi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang menekankan disiplin dan ketepatan waktu bekerja.

Ia juga selaras dengan amanat Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak dalam perhimpunan pertama tahun 2026 yang menggariskan kepentingan integriti dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Pendigitalan berteraskan teknologi ini bukan sahaja memacu kecekapan organisasi, malah memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan selaras aspirasi Kerajaan MADANI dalam memastikan perkhidmatan awam cemerlang, telus dan berdaya saing.

-RJ-