Laporan/foto: Shahmie Rozman (Gua Musang)
GUA MUSANG, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Gua Musang menganjurkan Program Singgah Sahur, semalam sebagai inisiatif menghargai petugas syif malam serta mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan di daerah ini.
Supt. Sik Choon Foo, berkata program
tersebut sebagai menghargai petugas-petugas
malam pasukan beruniform.
Program tersebut menyaksikan pengagihan sebanyak 100 bungkusan makanan sahur kepada petugas yang sedang menjalankan tugas di beberapa lokasi utama sekitar Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt. Sik Choon Foo berkata program seperti ini memberi penghargaan kepada petugas yang berkhidmat sepanjang malam khususnya dalam kalangan pasukan beruniform.
“Usahasama ini cukup memberi impak dalam usaha menghargai petugas-petugas malam yang hampir keseluruhannya merupakan anggota pasukan beruniform,” katanya.
Program berkenaan melibatkan empat kenderaan serta 15 anggota yang bergerak ke beberapa lokasi terpilih termasuk Pejabat TNB Gua Musang, Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang serta Hospital Gua Musang.
Kembara Singgah Sahur tersebut berakhir di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang selepas semua agihan selesai dilaksanakan.
-RI