Laporan/foto: Ezwana Adnan/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Johor kini memperkukuh kesiapsiagaan untuk mengangkat semula imejnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa yang mampan, inklusif dan berdaya saing sempena Tahun Melawat Johor (Visit Johor) 2026.
Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata usaha tersebut bukan sekadar memfokuskan kepada peningkatan jumlah pelancong malah memberi penekanan terhadap kualiti pengalaman serta impak limpahan ekonomi selepas kali terakhir penganjuran Visit Johor Year pada 2003.

Mohammad Nazrul, berkata Johor bakal memperkenalkan beberapa produk pelancongan baharu bagi mengangkat semula imejnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Keunikan 10 daerah di Johor yang mempunyai identiti tersendiri menjadi kekuatan utama dalam menarik pelancong pelbagai segmen dengan kepelbagaian produk pelancongan.
“Mersing kekal dengan keindahan pulau dan rekreasi marin, manakala Desaru Coast dan LEGOLAND Malaysia Resort terus menjadi magnet pelancongan bertaraf dunia. Selain itu, Stadium Sultan Ibrahim kini muncul sebagai ikon pelancongan moden yang menjadi kebanggaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual Influencer@JAPEN: Apa Cerita Ek? anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai persediaan Visit Johor 2026, Mohammad Nazrul menjelaskan bahawa Johor bakal memperkenalkan beberapa produk pelancongan baharu bagi melengkapi produk sedia ada yang sedang dinaiktaraf.
“Antara tarikan warisan dan budaya yang akan diketengahkan termasuk Muzium Tokoh dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebagai pusat pembelajaran sejarah, Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu, Pusat Rekreasi Sungai Lebam, dan Danga Bay untuk aktiviti riadah keluarga.

Barisan petugas program Influencer@JAPEN: Apa Cerita Ek?
bersama Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim.
“Penambahbaikan Zoo Johor dan River Cruise Sungai Johor yang wajahnya kini lebih segar dijangka meningkatkan kunjungan pelancong,” katanya.
Mohammad Nazrul menegaskan kesiapsiagaan infrastruktur Johor kini berada di tahap kukuh dengan sokongan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), projek Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Antara Johor Bahru Dan Singapura, serta pembukaan laluan penerbangan baharu Senai-Kunming sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
-RI