WARGA JAPEN PERLU MILIKI BINGKAI PEMIKIRAN SAMA, GUNA BAHASA MUDAH SAMPAIKAN PRODUK KERAJAAN – FAHMI

WARGA JAPEN PERLU MILIKI BINGKAI PEMIKIRAN SAMA, GUNA BAHASA MUDAH SAMPAIKAN PRODUK KERAJAAN – FAHMI
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

CYBERJAYA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Setiap warga Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) perlu mempunyai satu bingkai pemikiran atau mind-setting yang sama bagi membolehkan fungsi jabatan dalam memasarkan produk kerajaan berjalan dengan baik.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata justeru beliau hari ini menghimpunkan warga jabatan itu dari seluruh pelusuk negara bagi menyampaikan amanat mengenai hala tuju tersebut.

“Apa yang perlu kita usahakan (adalah) membantu setiap kementerian, jabatan dan agensi menyampaikan maklumat dengan mudah, dengan tepat kepada golongan sasar.

“Kerana, kadang-kadang sekiranya kita ada satu program atau perkhidmatan, tetapi kumpulan tertentu yang ditujukan itu (kumpulan sasar) tidak mengetahui apa produk dan perkhidmatan itu, maka ada masalah komunikasi di situ. Sekiranya ada masalah, kementerian berkenaan wajar ambil tahu dan selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Komunikasi Bersama Warga JAPEN 2026, di sini hari ini.

Fahmi juga mengarahkan agar pegawai penerangan di daerah memastikan supaya setiap bahasa yang digunakan dalam menyampaikan produk dan perkhidmatan kerajaan mengakar umbi dan berpijak di bumi yang nyata.

“Kalau di Perlis, mungkin kita nak sampaikan itu dengan cara tertentu, ayat tertentu. Kalau dengan komuniti Cina, komuniti India, dengan kelompok suku kaum tertentu mesti dalam bahasa yang tepat.

“Jangan sekadar bahasa rasmi, bahasa Putrajaya (laras bahasa dalam sektor pentadbiran). Jadi, di sini saya nampak JAPEN yang mempunyai kader dalam pelbagai kementerian juga boleh memainkan peranan dan di peringkat Kementerian Komunikasi (KK), kita akan membantu semua produk-produk ini dialih bahasa jadi bahasa seharian,” katanya.

Terdahulu, Fahmi menyampaikan amanat kepada lebih 500 orang warga JAPEN dari seluruh negara mengenai ekspektasi dan peranan jabatan tersebut dalam memperkukuh komunikasi kerajaan.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KK Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan.

-FN